Rabu, 8 April 2009







Inilah Iman Muhammad Aliff bin Mohd Hakimi
Permata hatiku yang lahir pada 31 Januari 2004 di HKL. Wajahnya cukup berseri sewaktu dilahirkan. Walaupun tanpa tangisan, tanpa rengekan, tanpa gerakan, tanpa nafas, malah sewaktu dia lahir ke dunia. Dia tak dapat memandang wajah aku ibunya. Sebak rasa untuk aku ceritakan kembali detik detik yang cukup menyentap hati dan kalbuku sebagai seorang ibu. Anak sulung yang kunantikan selepas 9 bulan dalam kandunganku.

Iman...Sungguh mak rindukan Iman. Dah terlalu lama kita berpisah sayang...

Aku masih ingat waktu aku disahkan mengandungkan Iman selepas 4 bulan mendirikan rumahtangga. Waktu itu lunch hour di office. Masih aku ingat sorakan dari kawan kawan. Mengandungkan Iman tanpa ada sebarang alahan kehamilan. Aku cukup kuat makan. Malah aku pernah makan 5 pinggan nasi sewaktu makan tengahari. Dan semua yang aku makan hanyalah makanan berkhasiat. Malah aku cukup suka minum soya dan kacang tauge.

Waktu dalam kandunganku Iman cukup aktif. Malah aku boleh rasa betapa Iman cepat membesar dalam kandunganku. Memang berat sekali aku waktu itu. Orang sekeliling yang tengok aku pun akan tegur tentang betapa besarnya perutku. Tak padan dengan bulannya. Malah apek jual biskut yang tak pernah tegur aku pun bila aku lalu akan panggil nasihatkan aku supaya jangan jalan laju laju. Itulah dia aku waktu mengandungkan Iman. Dengan tubuhku yang katek ni. Bila dah buncit macam tu. Memang tak aku nafikan. Aku bagaikan penguin yang berjalan laju.

Detik mengandungkan Iman adalah perkara paling indah berlaku dalam hidupku. Sehingga hari gelap itu datang. Malam itu aku ditahan di HKL kerana waktu untuk melahirkan Iman dah tiba. Rancangan mereka aku perlu dibedah kerana Iman cukup besar bila discan dan mereka tahu tak mungkin aku dapat melahirkannya secara normal. Malam itu aku dipuasakan. Keesokkan hari sewaktu menunggu masa pembedahan. Datang seorang Dr. perempuan. Pakar katanya. Puan, saya nak pecahkan air ketuban. Anak puan tak sampai 4 kilo jadi kami nak dia keluar secara normal.

Dan selepas tu.... mereka biarkan aku. Sendiri. Pintu rahimku hanya terbuka 2cm. Dari pagi sampai ke petang. Air ketuban tu dah habis kering. Malah bacaan CTG pun dah menurun. Dalam gelisah aku memanggil jururawat bertugas. Aku bertanya. Kak, tak lemas ke anak saya, air ketuban saya dah kering. Bacaan CTG tu pun dah makin rendah. Jawapan sombong yang kuterima. Adik apa nak risau kat sini semua pakar. Kemudian datang Nurse India. Bila dilihat bacaan CTG itu dah menurun. Dia mengalih alat CTG tu atas dadaku. Dan keputusannya bacaan itu naik kembali. Tapi bila Dr datang dan periksa nadi Iman. Mereka kata Iman cuma tinggal nyawa nyawa ikan. Dan waktu barulah mereka tergopoh gapah membawa aku ke bilik pembedahan. Hancur hatiku Tuhan saja yang tahu. Yang kupohon waktu itu. Ya Allah, selamatkan anakku, selamat kan Imanku.

Waktu Iman dikeluarkan aku nampak anakku itu lembik tak bernyawa. Mereka menekan nekan dada Iman. Dalam keadaan separuh sedar aku panggil Iman. Iman , Iman, Mak ni. Tapi mata Iman tutup rapat. Dan kemudian satu persatu khabar duka mengenai Iman dikhabarkan pada ku. Segalanya benar benar menakutkan.

Kata mereka Iman terlalu tenat. Mungkin menunggu masa untuk pergi. Malah kata kata kejam dari Dr. di situ. Puan, anak puan telah mengalami kerosakan otak yang teruk. Kalau dia hiduppun dia akan menyusahkan semua orang disekelilingnya. Kalau saya jadi puan, Saya akan doakan dia pergi. Hancur. Hancur hatiku. Tapi aku mohon juga pada Allah. Seikhlas hati ku mohon... Ya Allah, berilah aku peluang untuk jaga Iman walaupun sekejap. Aku merayu pada Dr. Selamatkan lah anakku walau apa pun keadaannya.

Keesokkannya aku menemui dr. pakar yang memaksa aku bersalin normal. Aku marah dia. Aku tanya dia kenapa Dr. paksa saya beranak normal sedangkan 3 dr. cakap saya tak boleh beranak normal. Anak saya besar. Puaske hati dr. Bagi risiko sebegitu rupa sampai anak saya jadi cacat macam tu. Sampai matipun saya takkan maafkan dr. Atas apa yang dr. buat ni. Terkedu juga dr. itu. Bukan niatku untuk marah. Tapi aku kesal. Dan aku harap dr. Itu sedar tentang perbuatannya dan tak akan buat apa apa dengan keputusan yang sombong. Kerana yang menerima akibat adalah anak kecil yang tidak berdosa.

Selepas itu Iman terus dikejarkan ke ICU. Selama 19 hari dia disana. Bagai hilang arah. Setiap hari aku merindui Iman. Aku cium baju Iman. Sebak hatiku bila kulihat ibu ibu yang baru bersalin menyusukan anak mereka di katil hospital. Aku... anak aku belum menyusu lagi. Iman.... bangunlah minum susu. Sebak hatiku bila lihat baby lain pakai baju baru. Tapi Iman hanya pakai pampers di ICU. Iman... beratnya dugaan ini untuk mak tanggung.

Iman cantik, putih, mulus, hidungnya cukup mancung, tinggi, gebu.... Malah semua yang melihat Iman akan bercakap tentang cantiknya Iman...Dalam hatiku. Aku bersyukur. Bila ku lihat Iman... Wajahnya memang milik ahli syurga.

Satu hari... jururawat yang merawat anakku beritahu aku. Kak, bawaklah Iman balik. Diorang nak biar Iman mati sendiri. Nak putuskan alat bantuan pernafasan dia. Hancur hatiku tak terkata. Lalu keputusan sendiri ku ambil. Aku mahu jaga Iman sendiri. Aku belajar untuk buat suction, belajar pasang tiub sebab iman langsung tak boleh menyusu. Iman tak boleh buat apa apa..... Kasihan Iman.

Akhirnya selepas beberapa minggu Iman balik ke rumah. Aku bahagia akhirnya Iman tidur di rumah sendiri. Walau menjaganya memerlukan segala pengorbanan yang ada. Iman tak tidur. Kalau tidur pun 15 minit sehari. Suction 15 minit sekali. Entah dari mana aku mendapat kekuatan untuk menjaga Iman. Lama juga aku cuti bekerja. Lepas habis cuti bersalin. Aku minta untuk sambung cuti 3 bulan lagi. Nasib baik majikan ku waktu itu Tn. Hj. Nik Ahmad Fakhrul Razy begitu baik hati untuk meluluskan cutiku. Malah untuk 3 bulan tu En. Nik tak tolakpun gaji aku. Terima kasih atas budi En. Nik. Malah dalam masa setahun tu aku hanya bekerja 2 minggu dalam sebulan. Disebab keadaan Iman yang sentiasa keluar dan masuk hospital.

Sejak itu aku memang terasa begitu terhutang budi dengan En. Nik. Malah aku pernah berkata dengan diriku. Kalau aku tak dapat kerja kerajaan. Aku mahu kerja dengan Rekarancang Sdn Bhd sampai khidmat aku tak diperlukan. Tak aku nafikan. Aku sayang En. Nik sebagai orang yang paling banyak menabur budi dalam hidupku. Namun aku tahu sampai bila bila pun aku takkan mungkin mampu membalasnya.

Iman, ada banyak follow up selepas itu... dengan pakar otak, pakar paru paru, pakar mata, pakar telinga, fisioterapi. Setiap bulan Iman masuk hospital. Dok dalam wad. Begitulah hidup kami. Namun aku tak pernah mengeluh. Asalkan aku dapat sentiasa berada disamping Iman...Dialah kenangan paling indah dalam hidupku. Iman sawan 24 hours kata dr. Walaupun dalam keadaan dia senyap dan tak bergerak, dalam tidur. Malah refluxnya terjadi hampir 5 -10 minit sekali. Iman bila ku beri susu melalui tiub.... susu itu akan keluar sendiri dari hidung dan mulutnya. Pedihnya hati tiap kali bila menyaksikannya.

Dr pernah suggestkan untuk menjahit kelopak mata iman sebab iman tak boleh tutup rapat matanya. Tapi aku tak sampai hati buat begitu jadi aku tak benarkan, kemudian dr. suggestkan untuk tebuk perut iman dan masuk tiub makanan. Itu pun aku tak sampai hati. Jadi aku bagitau dr. Dr, dah dr. kata anak saya ni tunggu masa. Dia dah sakit, jadi jangan sakitkan dia lagi .Biarlah setakat itu saja sakitnya. Entahlah .. .sampai hari ni aku tak tahu samaada keputusan yang aku buat tu betul ataupun tidak.

Iman... dalam keadaan sakit, dia terima kasih sayang dari semua orang, dia dah jumpa semua orang, malah sewaktu hidupnya dia sentiasa ku letak atas badanku. Tak sampai hati rasanya nak kuletakkan dia seorang dia terlentang di tilamnya. Dialah nyawa dan kalbuku. Malah aku pernah berkata dalam hatiku. Iman... hiduplah selagi mak hidup... mak tak rela berpisah dengan Iman...

Iman... anugerah yang tak ternilai dalam hidupku... Menjaga iman mengajar aku erti ketabahan, erti keikhlasan, erti pengorbanan dan erti kasih sayang. Walaupun ianya amat menduga tapi aku bahagia bersama anugerah syurga itu. Bersama iman, ada cerita suka, duka, sayu, gembira, bahagia. Memilikinya bererti aku miliki segalanya. Kerana itulah kehilangannya umpama membawa separuh dari jiwa dan hatiku pergi.

Aku masih ingat bagaimana aku diuji oleh manusia-manusia berhati kejam yang mempersoalkan tentang kenapa iman jadi begitu... yang mempertikaikan kasih sayangku pada zuriatku sendiri... yang mempertikaikan segalanya tentang aku dan iman. Namun aku tabahkan hati... aku katakan pada Iman.. 'Iman memiliki iman adalah perkara paling indah dalam hidup mak... biar Iman tak sesempurna orang lain. Tapi bagi mak iman ada segalanya yang orang lain tak ada'.

Dulu, setiap kali bila iman ditahan di ward. Ada saja manusia yang mahu mendekati katil kami. Aku faham mereka mahu tahu tentang iman. Tentang kenapa iman jadi begini. Adakala aku bercerita tentang perkara itu. Tapi tiap kali bila aku bercerita hatiku menangis. Sehinggakan aku terfikir untuk mencoretkan kisah iman pada sekeping kertas, membuat salinan fotostat dan mengedarkan setiap keping pada semua orang yang bertanya tentang iman. Supaya hatiku tidak hiba dengan kisah Iman yang aku ceritakan. Adakala aku tutup semua tirai langsir di sekeliling katilku dan iman. Supaya tak ada siapa boleh mengganggu ketenangan aku dan iman. Aku cuma mahu hidup tenang bersama anakku.

Adakala pensyarah dan pelajar perubatan cuba untuk meminta keizinanku menjadikan iman sebagai contoh pesakit atau lebih kejam lagi 'subjek eksperimen' untuk mereka lebih memahami keadaan pesakit seperti iman. Pada awalnya aku izinkan. Tapi bila kulihat seorang demi seorang pelajar mengetuk ngetuk lutut iman menggunakan satu alat. Aku jadi marah. Tiba-tiba hatiku hiba. Apa yang aku buatni? Benarkan anak aku disakiti? Sejak itu sesiapa saja selain Dr. yang merawat anakku cuba mendekati iman. Akan menerima kemarahan aku. Aku tahu mungkin mereka menganggap aku sombong dan enggan bekerjasama. Tapi aku perlu melindungi iman dari menjadi bahan eksperimen dan kesakitan.

Iman... semakin hari semakin lemah. Badannya kian susut, daripada 3.74kg semasa dilahirkan beratnya hanya tinggal 2kg sewaktu usianya berusia 1 tahun. Jangankan orang lain. Aku yang melihatnya pun merasa cukup derita. Siapa yang tak sedih melihat zuriat sendiri hanya tinggal kulit dan tulang. Seboleh mungkin aku tak mahu menangis depan iman. Aku mahu iman jadi kuat dan tabah seperti aku. Tapi aku hanya manusia biasa... Yang lemah dan adakala dan tak tertanggung dengan penderitaan anak sendiri di depan mata. Sayu, sebak, hiba semua perasaan itu ada dalam hati ini.

Sehinggalah satu hari. Tiba-tiba seakan ada satu suara dalam hatiku berkata... Adakah iman menahan akan segala kesakitan dan penderitaan kerana doa yang aku minta pada Tuhan untuknya. Doa supaya dia akan sentiasa bersamaku selagi aku hidup. Tapi, bagaimana kalau iman rasa sakit dan iman tak tertanggung dengan kesakitan iman itu. Oh Tuhan... berilah aku kekuatan untuk menghadapi dugaanMu ini.

Malam itu... aku memeluk iman dan memohon pada Tuhan dengan seikhlas hatiku... 'Ya Allah, aku bersyukur dengan anugerah dari syurgaMu yang kau titipkan buat aku dan suami... Aku sayangkan anak ini dan aku bersyukur kerana kau berikan aku kesempatan untuk membelai anugerah syurga yang tidak ternilai ini buat aku. Aku mahu bersama anak ini hingga ke akhir hayatku... Tak kira walau bagaimanapun keadaannya. Tapi Ya Allah, andainya selama ini Iman bertahan kerana aku sendiri tak mahu dia pergi dariku. Kerana doaku untuk bersamanya sehingga ke akhir hayatku... Hari ini aku mohon padaMu Ya Allah... Dengan seikhlas hatiku kerana aku ibu. dan kerana kasih sayang tanpa penghujung padanya... Demi sesungguhnya andai Iman rasa sakit. Andai Iman tak tertanggung dengan sakitnya... aku redha Ya Allah... Kau ambillah anakku kembali. Aku redha Ya Allah. Aku redha... Bukan kerana aku tak mahukannya.. Tapi aku tak mahu dia rasa sakit. Aku hanya hambaMu yang lemah. Yang ada ketika aku tak tertanggung dengan penderitaan insan yang ku sayang di depan mataku. Aku sayang dia Ya Allah. Aku sayang dia. Tapi andainya satu hari nanti anak ini akan sembuh dari segala penyakitkan... kau panjangkanlah umurnya dan berikanlah dia kembali padaku. Aku terlalu ingin melihat anakku ini senyum padaku.

Dua minggu selepas itu... iman demam. Sepanjang 2 minggu itu aku bagaikan wanita hamil yang mengidam untuk makan itu dan ini. Tapi aku seperti hidup di awang-awang. Aku tak sedar bila aku memijak tanah. Aku rasa serba tak kena. Bagaikan aku akan kehilangan sesuatu yang sangat aku sayangi.

5 March 2005... Hari itu muncul. Entah mengapa hari itu Abah iman seharian di hospital. Tak mahu langsung meninggalkan iman. Sehinggalah aku memaksanya balik dan bawa semua pakaian iman untuk dicuci. Peliknya hari itu semua baju itu digunakan. Sehingga tak ada sehelainya untuk dipakaikan. Malam itu ku dakap iman seeratnya. Kami lena bersama sehinggalah aku terjaga pada jam hampir pukul 6 pagi. Kulihat iman tercungap. Aku kata kan pada hatiku... Tak mungkin iman akan meninggalkan aku.

Dalam cemas, aku panggil Dr. Aku panggil suamiku untuk datang ke hospital semula. Dalam tenang... Dr. bagitau... Mak, saya nak bagitau ni nafasnya akan semakin perlahan. Aku pandang wajah iman. Air mataku sudah tak tertahan lagi. Dalam hati... Iman, iman nak tinggalkan mak ke? Abah.. mana abah. Aku mahu suami ku ada. Kemudian... iman berak. Banyak benar najisnya ... tak seperti selalu. Hairannya... bila aku cuci najisnya ianya ibarat air yang tak lekat pada kulit. Lain benar...

Bila suami ku sampai aku hilang suara. Hanya air mata mewakili perasaanku. Kami berdua berpelukan sambil menangis menenangkan hati masing masing. Aku lihat wajah iman. Tiba-tiba iman mengerang kesakitan. Sesuatu yang amat jarang dilakukannya. Mungkin kerana sakit kerana tiub pernafasan yang dipam di mulutnya. Lalu aku katakan pada Dr. Dr. dahlah tak payah buat apa-apa biar Iman dengan saya.

Kemudian.. pagi itu... Iman menghembuskan nafasnya yang terakhir di depan aku dan suami. Bagaikan separuh dari jiwaku di bawa pergi. Hatiku menangis semahu mahunya. Andainya air mata dari hati itu boleh diperah. Ianya pasti sehingga tidak ada setitik pun air yang menitis. Kami minta semua yang ada dibilik itu keluar. Kerana kami mahu bersendirian dengan anak kami.. yang telah meninggalkan kami buat selamanya. Iman kami peluk dan kami cium sepuasnya.

Iman kami bawa pulang setelah siap dimandi dan dikapankan. Tiada perkara yang lebih menyedihkan selain melain iman ditimbus tanah. Saat itu aku rasa sebahagian dari jiwaku dibawa pergi. Aku rasa seperti mahu saja aku terjun ke liang lahat bersamanya. Akhirnya.... Iman bersemadi dengan penciptanya.... Untuk selamanya ... meninggalkan mak dan abahnya yang sangat sangat menyayanginya...

Aku masih mengingati peristiwa aneh di malam kematian iman. Malam itu sewaktu aku menitipkan bacaan Yaasin buat arwah iman tiba-tiba ada tiupan angin dari tanah perkuburan ke rumahku. Angin itu singgah sebentar di depan rumahku dan kemudian berlalu semula ke arah tanah perkuburan. Anehnya hanya ada angin itu malam itu. Angin itu seakan membentuk jalan untuk ke rumahku. Waktu itu aku dan suamiku terdiam seketika.... Dalam hati walaupun kami tidak menyebutnya... Tapi apa yang ada dalam fikiran kami ... sama...... Iman datang.

Sejak Iman pergi aku terasa begitu kosong sekali. Iman ... beberapa kali pernah hadir dalam mimpiku... Dan mimpi yang terakhir itu .. .cukup indah. Malam itu... iman datang... dan aku peluk dia seperti selalu... iman sejuk... sejuk sekali. Dan bila aku terjaga. Air mataku menitis laju ... Mimpi itu seakan memberitahu ... Iman merinduiku.....

Kini 5 tahun telah berlalu. Iman pun dah jadi abang. Adik Iman Muhammad Aliff bin Mohd Hakimi dahpun ada 2. Muhammad Nabil Fakhrullah yang kini berusia 5 tahun dan Muhammad Alif Haiqal berusia 3 tahun. Walaupun aku dah miliki 2 anak lelaki selepas iman. Aku tak pernah setuju bila orang kata mereka pengganti iman. Bagiku... iman lain, nabil lain, haiqal lain.

Tak pernah ada seharipun dalam hidupku berlalu tanpa mengingati iman, tanpa menyebut nama iman, tanpa terkenangkan iman dan aku tak pernah berhenti daripada merindui iman. Adakala waktu rindu itu terlalu membuak-buak aku dakap dan aku cium kain batik lepas yang membalut tubuh iman waktu iman meninggal. Baju terakhir yang iman pakai sewaktu meninggal juga tak pernah aku cuci. Aku simpan kemas dalam sebuah kotak. Hingga kini haruman iman waktu kali terakhir dia bersamaku masih boleh aku cium waktu aku merinduinya.

Indahnya perasaan kerana dapat menjaga seorang ahli syurga itu... tak mungkin dapat ku gambarkan dengan kata-kata... Iman, mak bertuah kerana memiliki iman. Mak cintakan iman, mak sayangkan iman, mak kasihkan iman, mak rindukan iman dan ianya akan kekal sampai bila-bila. Ada satu ruang dalam hati mak ni yang mak letakkan kasih sayang mak untuk iman. Dan ruang itu akan kekal disitu hingga ke akhir hayat mak.














Jumaat, 3 April 2009

My First Entry

nak kedua - Muhammad Nabil Fakhrullah
Assalammualaikum,
This is my first entry. To all my friends out there. This blog is for you all. Untuk aziela (mama hadif), as (mummy amar), kak kila, kak elan, yana, nana, kak sha dan semua memember kat Rekarancang (disini lah aku dapat kawan kawan terbaik yang sama menangis dikala duka dan ketawa terbahak bahak kala gembira) - miss korang semua so much. Juga untuk kawan kawan sepital ku.... Semoga korang tabah melalui segala dugaan dalam hidup ini. Dan jangan lupa jengah blog alia selalu eh. Banyak nak citer kat dalam ni. Insyaallah akan diupdatekan setiap hari. Semoga perjalanan hidup aku mampu memberikan kekuatan dan semangat untuk semua ibu yang dirundung duka.....
Yang tak kenal aku lagi. Meh aku perkenalkan diri. Panggil aku alia.... Ibu pada 3 orang anak lelaki. Semua nya dilahirkan melalui pembedahan. Aku ada suami Mohd Hakimi Che Mamat namanya. Dah 32 tahun hidup kat bumi Allah ni. Dah agak tualah juga. Salah seorang penjawat awam yang begitu ikhlas berkhidmat untuk negara dan masyarakat. Ada 13 orang adik beradik. Aku anak kedua. Ramaikan. Suami pulak ada 14 orang adik beradik. Korang totallah sendiri banyak mana adik beradik yang aku ada. Itu ajelah ... lain lain pertanyaan mengenai diri aku akan dijawab dari masa ke semasa.
Oklah. kacau daun sungguh baru nak berangan tulis blog panjang panjang. Tapi alif haiqal dah menangislah pulak nak dukung. Sambung nantile ye. Bye .....
Anak ketiga - Muhammad A



Blog ni aku tujukan untuk semua ibu. Semua perjalanan hidup aku dapat menyuntik semangat untuk semua ibu di dunia ini. Amiiin...